News
Pelancaran Garis Panduan Pendaftaran Rakan Strategik (RS) MIHA Perkukuh Ekosistem Halal
Majlis Pelancaran Garis Panduan Pendaftaran Rakan Strategik (RS) Malaysia International Halal Academy yang telah berlangsung pada 22 Februari 2019 di Blok D, Kompleks Islam Putrajaya membuka satu lagi lembaran baru dalam Pensijilan Halal Malaysia.
Malaysia International Halal Academy (MIHA) adalah inisiatif di bawah Majlis Halal Malaysia (MHM) yang bertujuan untuk memperkasa ekosistem Halal Malaysia berkaitan program Pembangunan Kapasiti Halal (PKH) (Halal Capacity Developtment) dan bagi mengukuhkan potensi Modal Insan Halal (Halal Human Capital) agar sentiasa relevan dengan senario semasa.
MIHA diletakkan di bawah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, JAKIM dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam melaksanakan latihan halal bersama Rakan Strategik (RS) dengan kaedah kerjasama pintar (Smart Partnership) untuk melaksanakan program Pembangunan Kapasiti Halal (PKH) secara Training & Coaching (T&C) sama ada dalam dan luar negara ke arah melahirkan lebih ramai profesional halal.
Halal Malaysia telah terbukti mempunyai potensi besar sebagai penjana ekonomi dan ia juga sebagai sumber baharu yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara melalui strategi memperkasakan ekosistem halal sedia ada. Justeru kepakaran halal oleh JAKIM sebagai badan pensijilan halal telah dijadikan sebagai Halal Gateway Economy (HGE) iaitu dengan adanya Sijil Pengesahan Halal ia sebagai pembuka kepada penjanaan ekonomi halal global.
Kepakaran dan keilmuan Pensijilan Halal ini adalah tunjang kekuatan Halal Malaysia sehingga menjadi rujukan kuasa ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia, New Zealand, Korea Selatan termasuk negara-negara Islam seperti Indonesia, Turki, UAE dan Bosnia. Kekuatan ini perlu dijana sebaiknya ketika Malaysia dilihat sebagai negara utama pengeluar produk dan industri halal. Ini bermakna kepakaran dan keilmuan berkaitan ekosistem halal juga diiktiraf global. Permintaan perkongsian kepakaran ini mendapat permintaan tinggi terutama daripada China, Korea Selatan dan Jepun terutama olimpik Tokyo 2020.
Disebabkan pengiktirafan ini, maka terdapat segolongan individu atau syarikat menggunakan nama JAKIM untuk mendapatkan kepercayaan membangunkan pembangunan halal di negara-negara tertentu sedangkan ia adalah di luar pengetahuan JAKIM. Akhirnya pembangunan tersebut tidak mencapai objektifnya kerana tidak mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang tepat dan terkini dalam Pensijilan Halal Malaysia. Bagi mengatasi keadaan ini, maka permintaan tersebut perlu diselaraskan dan dikawal sebaiknya untuk mengelakkan hubungan antara negara terjejas atau imej Malaysia dipandang negatif.
Ke arah merealisasikan hasrat ini, JAKIM tidak boleh bersendirian membangunkan program kapasiti halal dan perkongsian kepakaran. Proses membina kepakaran dan keilmuan ini perlu diperkasakan dan disistemkan serta diakademikan dengan sebaiknya. Kepakaran Halal ini perlu dikongsikan dengan agensi berkepentingan dalam ekosistem halal sama ada dalam dan luar negara. Usaha-usaha ini boleh dilaksanakan melalui MIHA bersama Rakan Strategik (RS) sebagai peneraju akademi halal global dalam pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran dan profesional halal berteraskan Halal Knowledge Economy (HKE).
Kewujudan MIHA memberi implikasi besar dalam industri halal global. Malaysia akan menjadi pusat rujukan dan bimbingan serta khidmat nasihat kepada negara-negara di dunia dalam aspek kepakaran hukum syarak, pensijilan halal produk dan perkhidmatan, pengiktirafan badan pensijilan halal, standard, analisis makmal, penyelidikan, pembangunan industri, modal insan dan profesional halal. Penglibatan JAKIM melalui MIHA yang ditubuhkan di bawah inisiatif Majlis Halal Malaysia (MHM) akan merancakkan lagi pembangunan kapasiti halal dan profesional halal dalam ekosistem halal serta akan memartabatkan Halal Malaysia di peringkat global.
Sehubungan itu, satu Garis Panduan Pendaftaran Rakan Strategik Malaysia International Halal Academy (MIHA) JAKIM 2019 telah dikeluarkan dan berkuatkuasa pada 15 Februari 2019. Oleh itu semua penyedia latihan yang ingin menjadi RS MIHA dikehendaki mematuhi Garis Panduan tersebut dan boleh membuat permohonan pendaftaran segera sehingga pemakluman penutupan pendaftaran akan diumumkan kemudian. Untuk fasa ini sebanyak 30 RS akan didaftarkan terlebih dahulu. JAKIM akan melihat kepada permintaan dan keperluan dari masa ke semasa untuk penambahan RS. Garis Panduan Pendaftaran Rakan Strategik Malaysia International Halal Academy (MIHA) JAKIM 2019 boleh didapati melalui Pekeliling Sekretariat Majlis Halal Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019 di www.halal.gov.my.
Bagi memastikan semua RS memainkan peranan semaksimanya maka MIHA juga bekerjasama dengan Persatuan Rakan Strategik MIHA (MIHA Partners Association (MPA)) yang menjadi platform terbaik RS menyuarakan pandangan dan penambahbaikan serta mendapat maklumat terkini dasar kerajaan semasa berkaitan halal. MPA juga sebagai pemudahcara antara JAKIM dengan Industri halal.
#YakiniHalalMalaysia
#HalalMalaysiaHaveFaith
#HalalConnectingTheWorld
#MelebarRisalahMenyantuniUmmah
Address / Location
BAHAGIAN PENGURUSAN HALAL,
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA,
Aras 6 & 7, Blok D,
Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
No. 3 Jalan Tun Abdul Razak,
Presint 3, 62100 Putrajaya, Malaysia.
Telefon : 03-8892 5000 | Fax : 03-8892 5005 | Emel : pr_halal@islam.gov.my