bg_img

News

JAKIM Menerajui Promosi Industri Halal Domestik dan Pembudayaan Halal Melalui Halfest JAKIM 2019

KOMPLEKS ISLAM PUTRAJAYA, 29 Julai 2019 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam agenda mempromosi industri halal negara, bakal menganjurkan Ekspo Perdagangan dan Kepenggunaan Halal terbesar di Malaysia, HALFEST JAKIM 2019 Edisi Kelapan.

Pameran yang bakal berlangsung pada 4 – 8 September di Pusat Pameran Mines (MIECC) ini merupakan sebuah platfom utama yang bakal mengetengahkan produk-produk halal dan perkhidmatan-perkhidmatan patuh Syariah dari serata Malaysia.

Dengan JAKIM sebagai penganjur, HALFEST JAKIM 2019 merupakan satu usaha untuk menonjolkan usahasama JAKIM dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam mengetengahkan usahawan ‘asnafpreneur’ dan mempromosikan budaya halal bukan sahaja di kalangan usahawan dan pengguna Muslim, tetapi juga di kalangan usahawan dan pengguna bukan Muslim, dengan memberikan pendedahan yang lebih terhadap produk-produk dan perkhidmatan yang telah dipersijilkan halal.

Menurut YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof ketika majlis pelancaran HALFEST JAKIM 2019 hari ini, antara tarikan yang bakal disediakan kepada para pengunjung adalah sesi ‘Chat Industri Halal’, di mana lebih 25 pakar-pakar industri akan memberikan penerangan lebih mendalam tentang selok belok dunia usahawan di Malaysia sepanjang ekspo.

Lebih 50 sesi ‘Chat Industri Halal’ akan diadakan antara beliau dengan pemain industri halal dari serata Malaysia dengan topik-topik menarik seperti tips-tips permohonan pinjaman dan cara-cara efektif membuat profil syarikat. Sesi ini juga bakal merangkupi segenap ruang industri halal, termasuk cabang-cabang perniagaan yang berbeza seperti perikanan, pertanian, pembungkusan makanan, dan kewangan.

HALFEST JAKIM 2019 bakal menyaksikan penyertaan lebih 450 usahawan memenuhi lebih 500 ruang pameran, menyajikan para pengunjung dengan produk-produk halal berkualiti tinggi. Nilai publisiti sehingga RM 12.5 juta juga dijangka menarik lebih dari 80,000 pengunjung, dengan nilai jualan sepanjang lima hari dijangka mencecah RM 70 juta.

Sebagai satu-satunya ekspo halal di bawah naungan Badan Pensijilan Halal Malaysia, HALFEST JAKIM 2019 bukan sahaja menjadi pintu masuk kepada pasaran industri halal yang lebih luas, tetapi juga merupakan satu pusat tumpuan yang menggalakkan budaya halal secara total di kalangan rakyat Malaysia.

Antara sektor-sektor berbeza yang akan diketengahkan sepanjang HALFEST JAKIM 2019 ini adalah makanan dan minuman halal; farmaseutikal halal; barangan penjagaan diri serta kosmetik halal; perbankan Islam, Takaful, dan pelaburan patuh Syariah, pembungkusan makanan halal dan katering; perkhidmatan berstatus halal; serta badan-badan keusahawanan dan kementerian serta agensi-agensi berkaitan.

Program-program utama sepanjang ekspo HALFEST JAKIM 2019 ini termasuk:-

KLINIK MYHALAL JAKIM, sebuah seminar di mana para pempamer boleh mengutarakan sebarang persoalan atau permasalahaan berkaitan pensijilan Halal Malaysia;

HALAL TRAVEL MART, di mana Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Lembaga Tabung Haji bakal mempromosikan agensi-agensi pelancongan patuh Syariah dengan pakej-pakej menarik dalam dan luar negara;

HALFEST ENTREPRENEURAL CLINIC, sebuah seminar di mana agensi-agensi keusahawanan dan pakar-pakar industri memberikan solusi kepada isu-isu berkaitan keusahawanan;

MINGGU PERBANKAN ISLAM, TAKAFUL DAN MINGGU PELABURAN (IBTIW), ruang pameran yang memberi fokus kepada Perbankan Islam, Pengendali Takaful dan agensi pelaburan patuh Syariah, di mana para pengunjung boleh mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan-perkhidmatan dari syarikat-syarikat yang berbeza.

Antara program-program sampingan yang disediakan untuk para pengunjung adalah pertandingan ‘EAT ALL YOU CAN’ AT ‘BIG MOUTH’, HALFEST JAKIM VIRAL FOOD dan 10 sesi demonstrasi masakan ‘WOKSHOP’ oleh chef-chef selebriti terkemuka tanahair.

HALFEST JAKIM 2019 bakal dihoskan oleh oleh JAKIM dengan MAIWP sebagai penganjur bersama, dengan kolaborasi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), serta diuruskan oleh SHAPERS MALAYSIA Sdn Bhd, pengasas MIHAS, sebagai Sekretariat HALFEST JAKIM.

 

*Ikuti pelbagai aktiviti yang melibatkan Halal Malaysia di:-

 

https://m.facebook.com/HabHalalJakim/

http://bit.ly/AktiviitiHabHalal

http://www.halal.gov.my/

http://www.islam.gov.my/

 

#YakiniHalalMalaysia

#HalalMalaysiaMenerajuiDunia

#MelebarRisalahMenyantuniUmmah

#RahmatanLil’Alamin

#Rahmah

 

Address / Location

BAHAGIAN PENGURUSAN HALAL,
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA,
Aras 6 & 7, Blok D,
Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
No. 3 Jalan Tun Abdul Razak,
Presint 3, 62100 Putrajaya, Malaysia.

Telefon : 03-8892 5000 | Fax : 03-8892 5005 | Emel : pr_halal@islam.gov.my


Follow Us on Social Media

facebook_icon x_icon