bg_img

News

Keperluan Ubat-ubatan Halal

Pensijilan halal kini tidak tertumpu kepada produk makanan saja

bahkan mendapat permintaan industri farmaseutikal, kosmetik dan lain-lain.

Konsep halal difahami sebagai sesuatu yang dibenarkan untuk dimakan atau dimanfaatkan oleh orang Islam, dan tidak ditegah oleh Hukum Syarak.

Permintaan terhadap pensijilan halal dilihat kian meluas dan tidak terbatas pada produk makanan dan minuman semata-mata bahkan industri kosmetik, logistik, perkhidmatan kontrak pengilangan, dan barang gunaan turut melihat potensi yang luas dan permintaan yang luar biasa pada pensijilan halal yang diberikan. Industri farmaseutikal turut tidak ketinggalan melihat ia sebagai satu  peluang menanam keyakinan di kalangan pengguna.

FARMASEUTIKAL HALAL

al-siha menemui Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hakimah Mohd Yusoff untuk mengupas lebih lanjut mengenai peranan  JAKIM dalam pensijilan halal produk farmaseutikal di Malaysia dan juga impak positif secara meluas kepada umat Islam.

“Inisiatif memberi jaminan halal melalui pensijilan halal bermula pada tahun 1970-an lagi, di mana ketika itu pensijilan halal ini lebih menumpukan kepada makanan terutama daging dan hasilan daging. Kemudian, JAKIM telah menambah skim pensijilan halal kepada pelbagai produk pengguna selain daging dan makanan,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, dalam aspek industri farmaseutikal halal, terdapat banyak perkara yang perlu diperhalusi dan ditangani dengan penuh kebijaksanaan.

“Islam menetapkan bahawa rawatan melalui pengambilan ubat dibenarkan kepada pesakit untuk tujuan menyelamatkan nyawa dan mengelakkan keadaan pesakit menjadi lebih parah atau penularan  wabak penyakit, sekalipun ubat-ubatan tersebut mengandungi bahan-bahan yang tidak halal. 

“Ada ubat-ubatan meskipun tidak halal adalah dibenarkan bergantung kepada situasi seperti  dalam kecemasan atau darurat.," katanya lagi.

Namun, timbul persoalan mengenai kewajaran ubat-ubatan ini perlu diperakui halal?

Tambah beliau lagi, menyediakan pilihan ubat-ubatan yang dipersijilkan halal kepada orang ramai merupakan satu langkah yang terpuji. Namun, apa yang menjadi dilema adalah apabila pesakit mengelak atau enggan untuk menerima rawatan kerana menurut mereka bekalan ubat tersebut tidak mendapat pensijilan halal. Apatah lagi, pengguna kini mempunyai capaian maklumat yang meluas untuk menyemak secara asas ubat-ubatan yang mereka gunakan.

“Umat Islam di Malaysia perlu faham, meskipun kita tahu ubat-ubatan tersebut mengandungi bahan tidak halal, namun ia boleh digunakan untuk tujuan perubatan dan ini merujuk semula kepada konsep darurat iaitu penggunaan ubat itu sahaja yang digunakan untuk menyelamatkan nyawa atau mengelakkan penyakit menjadi semakin parah.”

Menurutnya lagi, “Walau bagaimanapun, umat Islam perlu faham ia hendaklah mengambilkira nasihat dari pakar dan bukan sewenang-wenangnya diambil.” Ubat-ubatan yang telah dipersijilkan halal dan terdapat di pasaran juga akan meningkatkan keyakinan pengguna beragama Islam terhadap produk yang ingin dibeli.

PERKASA PENSIJILAN

JAKIM bersedia untuk membantu sekiranya orang ramai inginkan lebih maklumat berkenaan farmaseutikal halal. Sebagai sebuah organisasi yang dinamakan sebagai Pihak Berkuasa Berwibawa menjalankan pensijilan halal, organisasi ini juga memainkan peranan penting dalam menganjurkan program-program kesedaran halal mengenai industri farmaseutikal dengan pelbagai pihak. 

“Kami akan sentiasa menyampaikan maklumat terkini mengenai farmaseutikal halal dengan mengadakan persidangan, bimbingan dan juga pameran. Kami juga bersedia membantu penyedia perkhidmatan kesihatan, pemain industri dan juga pengguna agar memahami sepenuhnya pensijilan halal dan konsep halal itu sendiri secara realistik.”

PELUANG DI PERINGKAT GLOBAL

Pada tahun 2012,   Malaysian Standard for Halal Pharmaceuticals (MS2424 2012) telah berjaya dibangunkan  oleh Jabatan Standard Malaysia dengan bantuan pelbagai pihak termasuk JAKIM dan Malaysia adalah negara yang pertama mengikut kualiti standard farmaseutikal mengikut Hukum Syarak.  

“Kita dapat lihat sambutan yang menggalakkan dalam industri farmaseutikal halal kebelakangan ini. Buat masa sekarang, JAKIM bekerjasama dengan pelbagai pihak demi melihat masa depan yang gemilang terhadap farmaseutikal halal agar kedudukan negara kita kekal utuh sebagai peneraju halal global.

(Sedutan Buletin al-Siha,  November 2019)

https://joom.ag/8fje/p8

 

*Ikuti dan ketahui pelbagai info halal Malaysia:-

 

http://bit.ly/KeratanAkhbarBHH

www.halal.gov.my

www.islam.gov.my

 

#HalalMalaysiaHaveFaith

#HalalConnectingTheWorld

#MelebarRisalahMenyantuniUmmah

#Rahmatanlilalamin

#Rahmah

Address / Location

BAHAGIAN PENGURUSAN HALAL,
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA,
Aras 6 & 7, Blok D,
Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
No. 3 Jalan Tun Abdul Razak,
Presint 3, 62100 Putrajaya, Malaysia.

Telefon : 03-8892 5000 | Fax : 03-8892 5005 | Emel : pr_halal@islam.gov.my


Follow Us on Social Media

facebook_icon x_icon