bg_img

Korporat

Misi, Visi Dan Objektif

MISI

Memastikan semua produk yang diberikan sijil halal atau yang menggunakan perbahasan halal adalah suci dan halal mengikut lunas-lunas syarak..


VISI

Menjadi sebuat pusat perkhidmatan pensijilan halal yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.


POLISI KUALITI

  • Bahagian ini komited memberi perkhidmatan Pensijilan Halal Malaysia yang cekap, cepat , berintegriti , berkredibiliti serta memenuhi keperluan pelanggan berdasarkan undang-undang, peraturan, standard dan garis panduan berkaitan yang diguna pakai di dalam pengurusan Pensijilan Halal Malaysia.
  • Bahagian ini akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan sistem pengurusan kualiti perkhidmatan Pensijilan Halal Malaysia selaras dengan visi dan misi Bahagian, serta memenuhi keperluan standard ISO/IEC 17065.


OBJEKTIF KUALITI

Mengkaji, mengesah dan mengawalselia semua produk makanan dan barangan gunaan Islam supaya terjamin suci dan halal dengan cekap dan berkesan.

 

"DAN JANGANLAH KAMU MAKAN DARI (SEMBELIHAN BINATANG-BINATANG HALAL) YANG TIDAK DISEBUT NAMA ALLAH KETIKA MENYEMBELIHNYA, KERANA SESUNGGUHNYA YANG SEDEMIKIAN ITU ADALAH PERBUATAN FASIK (BERDOSA) DAN SESUNGGUHNYA SYAITAN-SYAITAN ITU MEMBISIKKAN KEPADA PENGIKUT-PENGIKUTNYA, SUPAYA MEREKA MEMBANTAH (MENGHASUT) KAMU DAN JIKA KAMU MENURUT HASUTAN MEREKA (UNTUK MENGHALALKAN YANG HARAM ITU), SESUNGGUHNYA KAMU TETAP MENJADI ORANG-ORANG MUSYRIK."

Sejarah Halal

Penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam di negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak.

Bermula pada tahun 1994 pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan beserta logo halal dan mulai 30 September 1998 pemeriksaan halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan.

Pada 1 September 2002, kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai hanya 28 jawatan.

Dengan perkembangan pesat industri makanan di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, maka pada 17 November 2005 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah meluluskan sebanyak 165 perjawatan pelbagai skim dan gred dengan nama baru Bahagian Hub Halal.

Pada 2 April 2008, pengurusan pensijilan halal diambil alih oleh Halal Industry Development Corporation.

"Walau bagaimanapun mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memutuskan pengurusan pensijilan Halal Malaysia dalam dan luar negara dikembalikan kepada JAKIM."

Piagam Pelanggan

"Dalam banyak perkara, anda boleh mengatakan perkhidmatan utama kami adalah tanggungjawab kepada rakyat. Itulah tugasan kami yang paling sukar. 90% daripada kakitangan kami telah didedikasikan untuk perkhidmatan ini."

Mengeluarkan sijil pengesahan halal bagi syarikat dalam tempoh 30 hari selepas bayaran diterima dan memenuhi segala prosedur dan syarat pengesahan halal yang ditetapkan. Membuat penyiasatan dalam tempoh 24 jam (hari bekerja) selepas aduan diterima. Mengeluarkan surat pengiktirafan kepada Badan Pensijilan Halal Luar Negara 2 bulan selepas memenuhi proses akreditasi.

Takrifan Skim

1. Produk Makanan dan Minuman Produk makanan dan minuman Bermaksud barang-barang yang dibuat atau dihasilkan untuk manusia.

2. Barang Gunaan Barangan gunaan Bermaksud barang-barang bukan makanan dan minuman.

3.Premis Makanan Premis makanan Bermaksud sebarang bangunan atau apa-apa struktur, kekal atau sebaliknya bagi penyediaan, penyajian dan penjualan sebarang makanan seperti restoran, medan selera, kafeteria, kedai bakeri, kedai kek dan pastri, restoran makanan segera, restoran francais, kantin, kiosk, katering, dapur hotel dan lain-lain.

4.Rumah Sembelih Rumah sembelih bermaksud tempat atau premis untuk menyembelih dan memproses binatang secara komersil.

5.Logistik Logistik bermaksud perkhidmatan pengangkutan barangan dan/ atau perkhidmatan rantaian kargo atau penggudangan dan aktiviti berkaitan atau peruncitan yang berkaitan dengan pengurusan dan pengendalian makanan, minuman dan barangan.

6.Farmaseutikal Farmaseutikal merujuk kepada produk farmaseutikal dalam bentuk dos siap termasuk produk ubat-ubatan preskripsi dan bukan preskripsi untuk kegunaan manusia (biofarmaseutikal, radiofarmaseutikal, ubat-ubatan tradisional, tambahan khasiat makanan dan ubat-ubatan penyelidikan) yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

7.Kosmetik dan Dandanan Diri Kosmetik dan dandanan diri bermaksud bahan dan sediaan yang dibuat untuk bersentuhan dengan pelbagai bahagian luaran badan (epidermis, rambut, kuku, bibir dan organ sulit luaran) atau pada gigi dan saluran mukus di mulut. Ini bertujuan semata-mata untuk membersih, mewangikan, merubah penampilan dan/ atau membaiki bau badan dan/ atau melindunginya atau memeliharanya dalam keadaan baik.

Alamat Halal

BAHAGIAN PENGURUSAN HALAL,
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA,
Aras 6 & 7, Blok D,
Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
No. 3 Jalan Tun Abdul Razak,
Presint 3, 62100 Putrajaya, Malaysia.

Telefon : 03-8892 5000 | Fax : 03-8892 5005 | Emel : pr_halal@islam.gov.my


Ikuti kami di media sosial

facebook_icon x_icon